Wednesday, November 10, 2010
aneh!takut ditangkap pura pura mati lemas
Oleh Hajah Saemah Zulkefli
KUALA BELAIT, Selasa - Polis Daerah Belait hari ini mengesahkan yang mereka telah menangkap lelaki yang dilaporkan secara palsu hilang kerana tergelincir di Sungai Kuala Balai, apabila lelaki terbabit sebenarnya cuba untuk menyembunyikan diri daripada polis kerana takut untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi dakwaan mencuri barang kemas.
Lelaki terbabit, Muhd Nazzarul Shah Haji Sulaiman, 36, pada Sabtu lalu dilaporkan hilang 'kononnya' setelah terjatuh ke dalam sungai di kawasan Kuala Balai dekat sini semasa sedang memancing bersama kawannya, sedangkan dia sepatutnya hadir ke mahkamah pada sebelah petang hari yang sama.
Ekoran kegagalannya hadir ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan mencuri, mahkamah kemudian mengeluarkan perintah waran tangkap ke atasnya. Muhd Nazzarul Shah dituduh melakukan perbuatan mencuri di sebuah kedai emas di Seri Q-Lap Mall, Kiulap pada 11 Ogos lalu.
Menurut polis, Muhd Nazzarul Shah sebenarnya telah bersembunyi di rumah teman wanitanya di Seria - wanita yang sama membuat laporan kononnya lelaki terbabit jatuh ke dalam sungai kepada polis.
Polis telah mendapati lelaki terbabit bersembunyi di dalam gudang. Menurut polis, mereka juga telah membuat pemeriksaan rutin ke atas kawan-kawan Muhd Nazzarul Shah dan akhirnya mendapati lelaki itu bersembunyi di rumah teman wanitanya pada pukul 9:00 malam tadi.
Susulan penangkapan itu, Muhd Nazzarul Shah telah dihadapkan ke mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan hari ini untuk menjawab arahan waran tangkap atas kegagalannya menghadirkan diri untuk perbicaraan pada Sabtu lalu. Mahkamah kemudiannya memutuskan untuk membatalkan ikat jamin ke atasnya dan dia kini di tahan di Penjara Jerudong sehingga akhir perbicaraan.
Perbicaraan kes curi di Kedai Emas OKKY bermula hari ini. Di samping itu polis juga akan turut mendakwanya serta dua orang kawannya yang telah membuat laporan palsu menyatakan dia jatuh dan hilang di dalam sungai di Kuala Balai pada Sabtu lalu.
www.mediapermata.com.bn
sebelum nya.
Oleh Hajah Saemah Zulkefli
KUALA BELAIT, Isnin - Polis Kuala Belait telah mengesahkan bahawa lelaki yang dikatakan terjatuh ke dalam sungai di kawasan Kuala Balai selepas tergelincir semasa memancing adalah orang yang sama dengan lelaki buruan polis kerana melakukan kesalahan mencuri gelang emas bernilai $9,782 daripada sebuah Kedai Emas di Kiulap Bandar Seri Begawan.
Setelah membuat penentusahan, pihak polis telah mengesahkan bahawa lelaki yang hilang di Sungai Belait itu adalah orang yang sama dengan lelaki yang dikeluarkan Waran Tangkap (WOA) pada petang Sabtu lalu.
"Kami telah memadankan nombor kad pengenalan Muhd Nazzarul yang diarahkan waran tangkap sama dengan yang dimiliki oleh Muhd Nazzarul yang dilaporkan hilang dalam sungai, dan kami pasti dia adalah orang yang sama," kata polis.
Muhd Nazzarul Shah Haji Sulaiman, 36, sepatutnya menghadirkan diri ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan petang Sabtu lalu, atas tuduhan mencuri di sebuah gedung perniagaan di Kiulap pada 11 Ogos lalu, apabila dia mengaku tidak bersalah.
Bagaimanapun lelaki terbabit dikatakan telah mengambil keputusan untuk pergi memancing pada pagi Sabtu lalu bersama dengan dua orang kawannya, dan kedua kawan yang bersamanya mendakwa Muhd Nazzarul tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai lalu hilang sehingga hari ini belum dapat ditemukan walaupun usaha mencari dilakukan setiap hari.
Pihak bomba dan polis marin Kuala Belait masih meneruskan usaha mencari lelaki tersebut tetapi belum ditemui. Sementara itu, satu sumber berkata, polis tidak menolak kemungkian bahawa kejadian ini merupakan satu helah bagi mengelak diri daripada ditangkap dan didakwa.
sebelum nya.
KUALA BELAIT, Ahad - Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai semasa sedang memancing pagi kelmarin di kawasan Sungai Kuala Balai adalah disyaki sebagai orang yang sama dikeluarkan Waran Tangkap (WOA) oleh Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada hari yang sama dia hilang.
Menurut polis hari ini, lelaki yang dikeluarkan waran tangkap dan yang hilang mempunyai nama yang sama dan dipercayai adalah orang yang sama.
Bagaimanapun mereka belum dapat memastikan sebelum pengesahan kesepadanan identiti keduanya dibuat.
Lelaki yang kini sedang dicari di dalam Sungai Belait, Muhd Nazzarul Shah bin Haji Sulaiman, telah dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Belait semasa sedang memancing bersama dengan dua orang kawannya yang lain di tepi tebing sungai tersebut pada kira-kira pukul 8.00 pagi kelmarin (Sabtu).
Sementara itu lelaki yang sepatutnya hadir ke hadapan Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada pukul 2.30 petang pada hari yang sama kelmarin (Sabtu) juga bernama Muhd Nazzarul Shah Haji Sulaiman tetapi lelaki itu telah tidak menghadirkan diri sehingga penolong pendakwa awam memohon untuk hakim mengeluarkan waran tangkap ke atas lelaki tersebut.
Muhd Nazzarul Shah menghadapi tuduhan mencuri gelang emas bernilai hampir $10,000 daripada Kedai Emas OKKY di Seri Q-Lap Mall di Kiulap pada bulan Ogos tahun ini dia telah mengaku tidak bersalah.
Sehingga hari ini, pihak polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat masih meneruskan usaha mencari lelaki yang hilang di dalam sungai yang juga dikenali sebagai Muhd Nazzarul Shah yang dikatakan penduduk daripada Kampung Sengkarai Tutong.
Polis dalam laporannya menyatakan mereka telah berusaha untuk menghubungi teman wanita lelaki yang hilang itu untuk membantu siasatan, tetapi tidak berjaya dihubungi kerana nombor telefon yang diberikannya kepada polis kemudian didapati sebagai kepunyaan orang lain.
Usaha berterusan mencari lelaki yang berkemungkinan besar sudah lemas di dalam sungai tersebut turut melibatkan seramai tiga orang penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar dan juga lima penyelam dari Polis Marin Belait.
Jabatan Bomba dan Penyelamat memberitahu mereka ketika ini menggunakan peralatan ASRE dalam usaha mencari lelaki terbabit bagaimanapun sehingga sekarang belum ditemui lagi.
Kekerapan penyelam turun ke dalam sungai untuk mencari dikatakan dalam masa 5 ke 10 minit daripada tempat lelaki itu dikatakan terjatuh ketika sedang memancing dan ke kawasan lainnya.
Polis bagaimanapun memberitahu mereka akan memberikan pengesahan identiti hari ini, sama ada lelaki yang hilang dalam sungai itu adalah lelaki yang sama untuk waran tangkap.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment