Sunday, January 23, 2011

Buaya tertelan telefon bimbit enggan makan


2011/01/23

KIEV (Ukraine): Seekor buaya di Ukraine yang dikenali sebagai Gena, berusia 14 tahun di Taman Laut Dnipropetrovsk, enggan makan dan kelihatan sakit apabila tertelan telefon bimbit milik seorang wanita yang mahu mengambil gambarnya bulan lepas.

Telefon bimbit itu kadang kala berbunyi di dalam perut buaya itu.
Pemilik telefon bimbit itu, Rimma Golovko berkata beliau mahukan kad sim telefonnya semula kerana ia mengandungi gambar dan nombor hubungannya.
Pekerja akuarium pada mulanya tidak mempercayai ibu muda itu apabila beliau mengadu buaya menelan telefon bimbitnya.

“Tetapi apabila telefon itu mula berbunyi dan ia dikenal pasti dari perut Gena dan barulah kami mempercayainya,” kata seorang pekerja yang dikenali sebagai Alexandra.

Golovko mengakui kecuaiannya menjadi sebab kejadian itu. Dia berkata apabila cuba mengambil gambar Gena, buaya itu membuka mulut dan telefon bimbit jenama Nokia jatuh dalam kolam buaya itu.

Kejadian itu mencetuskan masalah lebih besar kepada buaya itu yang hilang selera makan dan mengalami masalah membuang air besar sejak empat minggu serta kelihatan sakit.
“Perangai buaya ini turut berubah dan kurang berenang serta bermain dengan buaya lain,” katanya.

Doktor cuba memberi buaya itu burung puyuh hidup untuk membuka seleranya berbanding daging lembu atau babi yang diberikan kepada buaya itu sekali seminggu. Burung puyuh itu disuntik dengan vitamin tetapi buaya itu enggan memakannya.

“Gena adalah buaya yang terbesar dan tertua di sini, mungkin ia menelan telefon bimbit itu untuk melindungi kumpulannya,” kata Alexandra.

Buaya berkenaan akan dibawa ke klinik untuk melakukan imbasan sinar-X minggu depan bagi memastikan telefon terbabit masih ada. Pihak perubatan tidak menolak kemungkinan membedah buaya itu sebagai jalan penyelesaian terakhir. – AP

No comments: