Saturday, November 13, 2010

Harimau turut lari dari Merapi



SEKUMPULAN pekerja membersihkan debu Gunung Merapi yang menyelaputi Candi Borobodur di Magelang, semalam. - AFP


YOGYAKARTA 12 Nov. - Gunung Merapi menghamburkan debu panas dengan lebih perlahan hari ini namun pakar memberi amaran letusan boleh berlaku lagi, sementara penduduk kampung melaporkan harimau bintang yang tinggal dekat kawahnya juga sudah mula berpindah.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan menaikkan angka kematian akibat beberapa letusan baru-baru ini kepada 206 orang, manakala 380,000 penduduk masih berlindung di pusat-pusat penempatan sementara.

Bilangan korban semakin bertambah kerana pegawai mengambil kira mangsa yang meninggal dunia akibat masalah pernafasan, serangan sakit jantung dan penyakit lain berpunca daripada letusan.

Ketika pegawai mengalami kesukaran untuk meyakinkan beratus-ratus ribu penduduk supaya jangan pulang ke rumah mereka di lereng gunung itu, spesies harimau bintang Jawa yang hampir pupus turut kelihatan berpindah sejak beberapa hari lalu.

Harimau bintang Jawa diancam kepupusan dan dianggarkan tidak lebih daripada 250 ekor masih hidup di dalam hutan.

Sementara itu, pentadbiran Universiti Gadjah Mada (UGM) di sini bersetuju memberi kelonggaran kepada pelajar Malaysia yang pulang ke tanah air berikutan letusan Merapi tempoh untuk melanjutkan cuti, walaupun kuliah akan bermula pada 15 November ini.

Pengarah Education Malaysia, Indonesia (dahulu dikenali sebagai Jabatan Penuntut), Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar berkata, berdasarkan maklumat Setiausaha Eksekutif UGM, Joko Murdiyanto, pengajian di UGM, di sini diteruskan pada 15 November ini, bermakna cuti hanya diberikan sehingga 13 November.

Jelasnya, UGM memberi kelonggaran jika pelajar menghadapi kesukaran untuk hadir ke kelas seperti merasakan keadaan masih tidak selamat dan menjejaskan kesihatan dan masalah pengangkutan.

Namun pelajar-pelajar dinasihatkan mengikuti kuliah secara online melalui sistem GAMEL dan memuat turun bahan kuliah yang disediakan oleh fakulti masing-masing.

Manakala bagi tarikh peperiksaan pula, katanya, ia bergantung kepada fakulti dan tahun mendaftar (batch) bagi pelajar masing-masing dan pelajar yang menjalani latihan amali, cuti yang diberikan hanyalah sehingga 13 November atau perlu mengambil ulangan. - AP/Utusan

No comments: