Thursday, March 10, 2011

Gempar jumpa bangkai buaya

Rabu, 9 Mac 2011
Oleh Haji Minor Absah



Orang ramai berpusu-pusu ke lokasi untuk melihat bangkai haiwan itu.


Bangkai Buaya yang ditemui terdampar di tebing sungai.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac - Kampung Bebatik-Kilanas dekat sini dan kawasan sekelilingnya riuh-rendah dengan berita penemuan bangkai seekor buaya sepanjang lebih tiga meter terdampar di tebing sungai berhampiran dengan lokasi tempat mayat seorang lelaki Thailand maut dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ikan, lewat petang ini.

Orang ramai yang mendengar perkhabaran penemuan bangkai reptilia itu, berpusu-pusu menuju ke sana untuk melihat sendiri buaya berkenaan.

Menurut Ketua Kampung Bebatik-Kilanas, Haji Mohamad Rais, beliau menerima maklumat daripada orang ramai mengenai bangkai buaya terdampar di tebing sungai pada kira-kira pukul 4.30 petang.

Haji Mohamad Rais berkata, bangkai haiwan itu akan dikuburkan bagi mengelakkan pencemaran.

Polis dari Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan yang menerima panggilan orang ramai berkejar ke tempat berkenaan.

Menurut polis, buaya itu dipercayai reptilia yang membaham lelaki warga Thailand pada 6 Mac lalu.

Bangkai buaya yang ditemui tidak jauh dari tempat serangan dilaporkan, ditemui mempunyai kesan lilitan rambat yang dipercayai digunakan oleh mangsa terbalut pada badannya, jelas Haji Mohamad Rais.

Dalam kejadian dilaporkan berlaku pada pagi 6 Mac, Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan menerima aduan pada kira-kira pukul 7.17 pagi mengenai seorang lelaki Thailand dipercayai dibaham seekor buaya ketika menangkap ikan bersama rakannya di kawasan Sungai Damuan, Simpang 41, Ban 6, Jalan Mulaut Kilanas.

Mayat lelaki itu dilaporkan ditemui kira-kira pukul 12.40 tengah hari kelmarin ketika polis menjalankan operasi mencari mangsa.

Mayat mangsa dijumpai terapung di tebing sungai 100 meter dari tempat kejadian dan mayat terus dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk dibedah siasat.

mediapermata.com.bn

No comments: